PETALING JAYA : Polis mengesahkan lelaki yang menyerang dua wanita di kawasan Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya di sini, pada Jumaat lalu ditahan 1.30 pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, suspek berusia 46 tahun, bersembunyi di rumah rakannya di Kajang sebelum ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
Suspek dikatakan cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah namun berjaya diberkas.
Difahamkan, lelaki berkenaan mempunyai enam rekod kesalahan lampau iaitu empat kes samun, curi dan curi kenderaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, polis akan memohon perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian serangan terhadap dua wanita di kawasan sebuah SRA di Kelana Jaya, tengah hari semalam.
Dua wanita yang ditikam membabitkan seorang guru berusia 52 tahun dan seorang jurujual berusia 26 tahun.






























