KUALA LUMPUR: Sejumlah 8,011 kes penipuan telekomunikasi atau phone scam direkodkan melibatkan nilai kerugian lebih RM440 juta sepanjang 2021 hingga 2023.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah tersebut, 448 kes adalah penipuan melalui penyamaran sebagai pegawai Pos Laju melibatkan nilai kerugian RM30 juta.
“Bagi 2024 sehingga Julai, sejumlah 1,411 kes disiasat dengan nilai lebih RM65 juta.
“Sejumlah 87 kes adalah berkaitan penyamaran sebagai pegawai Pos Laju melibatkan nilai kerugian hampir RM3 juta,” katanya.
Menurutnya, pada 2022, sebanyak 25,479 kes penipuan dalam talian disiasat PDRM dengan nilai kerugian RM851.12 juta.
“Pada 2023, jumlah ini meningkat sebanyak 35.4 peratus kepada 34,495 kes dengan nilai kerugian mencecah RM1.21 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Kempen Kesedaran Parcel Scam di Ibu pejabat Pos Malaysia di sini, kelmarin.
Pos Malaysia dan aplikasi antipenipuan, Whoscall hari ini mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) sebagai sebahagian daripada inisiatif #ScamFreeMalaysia.
Menurut Ramli, landskap penipuan dalam talian sentiasa berkembang dan penipu sentiasa mencari cara baharu untuk menyusup ke dalam kehidupan harian rakyat.
“Penting untuk masyarakat memanfaatkan teknologi bagi melindungi rakyat dalam persekitaran siber yang sentiasa berevolusi.
“Data-data orang ramai mudah didedahkan seperti mengisi maklumat peribadi di restoran makanan segera, contohnya dan dengan mudahnya data mereka dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memuji usaha Pos Malaysia dan Whoscall atas langkah proaktif mengekang penipuan dalam talian khususnya penipuan telekomunikasi.
“PDRM menggalakkan syarikat penghantar bungkusan yang lain untuk berkolaborasi bersama aplikasi antipenipuan bagi mengelak jenayah ini terus meningkat,” katanya.
































