PETALING JAYA: Data peribadi rakyat Malaysia menguntungkan sindiket apabila maklumat itu diniagakan di pasaran gelap secara pukal atau serendah 80 sen bagi setiap data.
Kegiatan itu berlaku sejak 1980-an dan berdasarkan 22 juta data pengguna yang didakwa pernah bocor daripada sebuah agensi kerajaan sebelum ini sindiket mampu memperoleh sehingga RM17.6 juta.
Data peribadi ialah maklumat setiap individu seperti nombor Mykad, telefon, e-mel dan alamat rumah untuk melanggan produk dan perkhidmatan sama ada di agensi kerajaan dan juga swasta.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, data peribadi yang bocor itu boleh datang dari pelbagai sumber antaranya laman sosial, syarikat telekomunikasi, institusi kewangan dan agensi kerajaan termasuk dari pejabat tanah dan galian.
Menurut beliau, aktiviti tersebut membimbangkan lebih-lebih lagi dalam sektor kerajaan yang memiliki data pelbagai maklumat membabitkan rakyat Malaysia seperti aplikasi MySejahtera dan terbaharu dalam Pangkalan Data Utama (PADU).
Kata beliau, penjualan data peribadi bukan isu baharu sebaliknya masalah lama dan mengikut maklumat terkini sindiket boleh meniagakan data peribadi rakyat Malaysua 80 sen bagi setiap data.
Kata Siraj, organisasi kerajaan akan lebih kerap menjadi sasaran penggodam kerana pengumpulan data sulit yang bernilai tinggi disimpan institusi tersebut yang pada asalnya untuk kegunaan kerajaan.
“Harga bagi data yang lebih tepat adalah lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit. Ini menjadikan nilai industri penjualan data (di pasaran gelap) lebih mahal.
“Aktiviti penjualan data menjadi semakin rancak dalam pasaran gelap dan dijual secara besar-besaran serta setiap data mewakili harga yang berbeza-beza tetapi harga terkini mengikut maklumat serendah 80 sen bagi setiap data.
“Penggodam akan mengumpul semua data yang dicuri sehingga membentuk satu data raya atau big data yang mempunyai maklumat terperinci dan kemudian menjualnya dengan harga tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pada Februari lalu, tular di media sosial apabila didakwa terdapat pihak tertentu didakwa menjual hampir setengah juta data rakyat Malaysia di sebuah platform e-dagang terkemuka.
Data itu dijual secara terbuka di platform berkenaan dan boleh diakses semua pihak dan individu.
Antara maklumat yang terkandung dalam data tersebut ialah nombor telefon, nombor kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri dan alamat tempat tinggal sehingga tindakan itu merisikokan lebih ramai menjadi mangsa penipuan.
KEBOCORAN
Mengulas lanjut, Siraj berkata, tidak mustahil kebocoran data peribadi ini berpunca daripada individu yang tidak amanah dalam pekerjaannya sebagai pengumpul data terutama dalam kalangan peniaga syarikat telekomunikasi.
Katanya, atas faktor tersebut, kerajaan perlu merangka mekanisme yang memboleh syarikat-syarikat swasta menyimpan data pengguna yang berurusan dengan syarikat tersebut.
“Tidak mustahil kakitangan dalam adalah dalang dalam penjualan data. Penggodam dan sindiket boleh berurusan secara langsung dengan individu yang mempunyai akses kepada data pengguna.
“Isu penggodaman ini lebih menjurus kepada orang yang pecah amanah dalam organisasi berkenaan dari sudut penjagaan data dan akan berkongsi data tersebut dengan pihak ketiga bersertakan bayaran yang bernilai.
“PADU juga perlu diteliti semula kerana ia adalah isu kepercayaan yang mana ia akan menyebabkan defisit kepercayaan terhadap kerajaan untuk melindungi data rakyat daripada tercemar.
“Jika ini berlaku, orang ramai tidak akan percaya bahawa data kerajaan boleh dilindungi 100 peratus daripada digodam kerana tahap keselamatan masih dalam keadaan berhati-hati,” katanya.
































