Roket pengangkut Long March-6 yang membawa satelit baharu dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan di wilayah Shanxi, utara China, Selasa lepas.
DHAKA: Lebih 1,000 satelit dan objek-objek lain di kawasan orbit berisiko dilanggar serpihan sebuah roket China yang pecah di angkasa lepas selepas dilancarkan pada minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, penganalisis mendedahkan, lebih 700 serpihan daripada roket milik syarikat China, Shanghai Spacecom Satellite Technology (SSST) kini bertebaran di angkasa, sekali gus meningkatkan risiko pelanggaran dengan objek lain.
Katanya, bahagian atas roket Long March-6 itu pecah sejurus menempatkan 18 satelit Qianfen, lapor Reuters.
“Firma-firma penjejak angkasa lepas telah mengenal pasti terdapat sekurang-kurangnya 700 serpihan di angkasa lepas,” kata penganalisis.
SSST bagaimanapun gagal dihubungi.
Roket Long March-6 dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan di wilayah Shanxi, China pada Selasa lalu dalam misi pertama menempatkan 14,000 satelit yang memancarkan internet jalur lebar oleh SSST.
Ia bagi menyaingi syarikat milik Amerika Syarikat, Starlink yang kini mempunyai 6,000 satelit di angkasa.
Starlink berhasrat menambah bilangan satelitnya kepada 42,000 unit.
































