Gambar edaran diambil pada 6 Ogos 1945 oleh tentera AS menunjukkan awam berbentuk cendawan selepas bom atom dijatuhkan oleh pengebom B-29 Enola Gay di bandar Hiroshima.
Pagi masih awal, tetapi cuacanya sudah terasa panas seperti matahari dekat di atas kepala.
Menurut Utusan Malaysia, walaupun sudah hampir 80 tahun berlalu, memori itu masih segar dalam ingatan Chieko Kiriake, 94, mangsa terakhir yang selamat daripada ‘neraka’ bom atom di Jepun.
Sekitar sekitar 8.15 pagi, Amerika Syarikat (AS) baru saja menjatuhkan bom atom di bandar kelahiran Kiriake di Hiroshima – kali pertama senjata nuklear digunakan dalam peperangan.
Walaupun Jerman menyerah kalah di Eropah, pasukan bersekutu yang bertempur dalam Perang Dunia Kedua masih berperang dengan Jepun.
Menyingkap kembali peristiwa 79 tahun lalu, Kiriake yang ketika itu seorang pelajar berusia 15 tahun, dihantar bekerja di kilang semasa perang.
Dalam keadaan terhuyunghayang membawa rakannya yang cedera di belakang, Kiriake melihat ramai orang melecur teruk dan seorang demi seorang mati akibat serangan.
“Pada waktu itu, pelajar senior yang terselamat termasuk saya diarahkan oleh guru kami untuk menggali lubang di taman permainan dan saya membakar mayat (rakan sekelas) dengan tangan sendiri,” katanya.
Fasa kesedihan itu sudah lama berlalu dan bandar itu kini kembali dengan kehidupan baharu.
“Ramai berkata rumput tidak akan tumbuh selama 75 tahun, tetapi pada musim bunga berikutnya burung pipit juga kembali. “Sepanjang hayat ini, beberapa kali saya merasakan diri hampir mati tetapi saya terus hidup kerana kuasa yang hebat,” katanya.
Mangsa pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki yang masih hidup, dikenali sebagai hibakusha – orang yang terkena bom – di Jepun.
Majoriti hibakusha yang masih hidup hari ini adalah kanak-kanak semasa pengeboman itu, termasuk Michiko Kodama, 86.
Beliau semahunya enggan mengingat kembali peristiwa hitam tersebut, kerana ia menyimpan 1,000 duka dan trauma buat dirinya.
Namun, konflik global yang semakin meningkat kebelakangan ini, seperti pencerobohan Russia di Ukraine dan perang Israel terhadap Gaza, mencetuskan rasa bimbang dengan risiko peningkatan nuklear sebagaimana Perang Dunia Kedua.
“Kita tidak boleh membenarkan neraka pengeboman atom dicipta semula. Saya merasakan satu krisis,” katanya.
Kodama adalah seorang aktivis yang lantang bersuara untuk pelucutan senjata nuklear dan mahu nasib mangsa korban didengar serta disampaikan kepada generasi akan datang.
Beliau yang ketika itu berusia tujuh tahun, berada di sekolah sewaktu bom dijatuhkan di Hiroshima.
“Melalui tingkap kelas, saya melihat ada cahaya meluncur laju ke arah kami. Ia berwarna kuning, oren dan perak,” katanya.
Kodama menggambarkan bagaimana tingkap kelas pecah dan serpihannya berterbangan ke seluruh bilik darjah, menembusi dinding dan meja serta siling runtuh.
Katanya, hujan hitam turun dari langit seperti lumpur. Ia adalah campuran bahan radioaktif dan sisa daripada letupan.
Kodama tidak pernah melupakan situasi huru-hara yang dilihatnya ketika itu, seolah-olah adegan dari neraka.
“Orang ramai melarikan diri ke arah kami, kebanyakan pakaian mereka terbakar dan menampakkan daging mereka.
“Saya masih ingat seorang kanak-kanak bersendirian, sekitar umur sebaya, dalam keadaan terbakar teruk,” katanya.
Menurutnya, beliau mungkin tidak hidup hingga hari ini jika keluarganya tinggal di rumah lama mereka, yang hanya 350 meter dari tempat bom diletupkan.
Kira-kira 20 hari sebelum kejadian, keluarganya berpindah rumah hanya beberapa kilometer dari lokasi pengeboman, tetapi jarak itu berjaya menyelamatkan nyawa mereka.
Anggaran menunjukkan jumlah nyawa terkorban di Hiroshima menjelang akhir 1945, sekitar 140,000 orang, manakala, sekurang-kurangnya 74,000 orang lagi terbunuh di Nagasaki, selepas AS menjatuhkan bom tiga hari kemudian.


































