Tan Chun Hooi (tengah) mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang kelmarin, atas pertuduhan menipu seorang wanita untuk mendapatkan pekerjaan sebagai seorang pramugari.
GEORGE TOWN : Seorang tukang gunting rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas tuduhan menipu seorang wanita untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pramugari sehingga mangsa kerugian lebih RM300,000 tahun lepas.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Tan Chun Hooi, 37, membuat pengakuan tersebut dan meminta supaya dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Berdasarkan pertuduhan, Chun Hooi, telah memperdayakan seorang wanita berusia 38 tahun untuk mempercayai bahawa tertuduh berupaya mendapatkan pekerjaan untuk wanita itu sebagai pramugari di Singapore Airlines.
Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM358,015 kepada tertuduh dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bank yang dimiliki tertuduh di mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdaya sedemikian oleh tertuduh.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, dikenakan sebatan serta didenda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 3 Julai 2023, kira-kira pukul 10.15 malam hingga 15 Disember 2023, kira-kira pukul 6.39 petang, di Paya Terubong, Ayer Itam, di sini.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ashraf Ali mencadangkan agar wang jaminan sebanyak RM12,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam yang mewakili tertuduh, Yiew De Xien bagaimanapun memohon supaya mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana tertuduh perlu menanggung neneknya ketika ini.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes dijangka disebut semula pada 12 September depan.


































