WASHINGTON: Teka-teki siapa calon Demokrat Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) akhirnya terjawab dengan Gabenor Minnesota, Tim Walz dipilih sebagai regu pasukan Kamala Harris.
Menurut Utusan Malaysia, Reuters melaporkan, calon Demokrat Presiden AS, Kamala Harris memilih Tim Walz sebagai regu pasukannya dalam Pilihan Raya Presiden AS pada November.
Jurucakap kempen belum memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara ini, namun pengumuman rasmi bakal dibuat pada pagi Selasa.
Tim Walz dipilih kerana mahu meraih sokongan pengundi kulit putih di samping memenangi masyarakat luar bandar.
Sebelum ini, Harris masih mencari bakal regunya dalam Pilihan Raya Presiden negara itu apabila memilih untuk menemuduga tiga individu bagi dikenalpasti untuk terpilih sebagai calon Naib Presiden.
Selain Tim Walz, dua individu lain adalah Senator Arizona Mark Kelly dan Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro.
Pemilihan pasangan calon merupakan salah satu keputusan paling penting dalam karier politik Harris kerana beliau dilihat tergesa-gesa menyusun kempen bagi mencabar Donald Trump dalam pilihan raya 5 November nanti selepas Presiden Joe Biden mengumumkan tidak bertanding pada bulan lalu.
































