Frank Lucio Carillo didakwa mengancam nyawa Kamala Harris.
WASHINGTON: Seorang lelaki dari Virginia didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris di Mahkamah Persekutuan semalam.
Menurut Utusan Malaysia, rekod mahkamah menyatakan, Frank Lucio Carillo membuat beberapa ugutan terhadap Harris dan Presiden AS, Joe Biden; Pengarah FBI, Christopher Wray, beberapa pegawai Arizona dan lain-lain di platform media sosial sayap kanan Gettr.
Sebagai tindak balas kepada sepina, FBI menemui sebanyak 4,359 dokomen dalam simpanan Carillo yang mensasarkan pelbagai pegawai awam termasuk Harris.
Dalam beberapa catatan, Carillo didakwa menggugut untuk mencederakan Harris dan menggambarkan pelbagai cara dia mahu meragut nyawa Naib Presiden, demikian menurut rekod mahkamah.
Di samping itu, Carillo juga melemparkan kata-kata kasar terhadap Harris dan berharap supaya dia mengalami kematian yang perlahan-lahan.
Selain itu, Carillo melakukan ugutan grafik dan terperinci terhadap Naib Presiden serta yang lain termasuk satu komen yang berbaur Islamofobia pada tahun lepas di mana dia menyeru semua orang harus ‘keluar dengan senjata anda dan membunuh semua orang Islam.’
Ejen Persekutuan mendapatkan dua senjata api dari rumahnya, termasuk pistol yang dibelinya pada tahun lepas dan senapang yang dibeli pada tahun ini.
Perbicaraan untuk menentukan sama ada Carillo akan kekal dalam penjara sementara akan ditentukan pada Khamis ini.




























