KUALA LUMPUR : Polis menembak mati empat penjenayah di dua lokasi selepas terlibat dalam kes penculikan membabitkan seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan di Plaza Tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) pada 11 Julai lalu.
Kesemua penjenayah berkenaan maut selepas dalam kejadian berbalas tembakan yang berlaku di Skudai, Johor semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam operasi sama empat lagi individu termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 43 tahun turut ditahan di sekitar daerah berkenaan.
Beliau berkata, pada mulanya, lelaki dan wanita berkenaan telah diculik oleh empat individu tidak dikenali menggunakan kenderaan Toyota Alphard dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan pada pukul 11 pagi.
Jelas beliau, kedua-dua mengsa kemudian dibebaskan tepi jalan Pedas-Linggi Negeri Sembilan pada 15 Julai lalu setelah adik kepada lelaki warga China itu membayar wang tebusan dalam bentuk mata wang kripto RM5,457,290.90 (AS$1,161,127.00)
“Hasil risikan dan siasatan, polis telah berjaya mengenal pasti suspek terlibat sebelum mengekori seorang suspek yang memandu kereta Perodua Kelisa di jalan Skudai-Gelang Patah Johor pada 11.25 malam tadi.
“Suspek yang menyedari diekori pasukan polis kemudian melepaskan tembakan ke arah kereta polis sebelum beberapa tembakan dilepaskan polis bagi mempertahankan diri.
“Tindakan itu menyebabkan suspek berusia 51 tahun terkorban dan pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sepucuk pistol,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Beliau berkata, susulan daripada itu, tiga lagi penjenayah turut maut dalam kejadian tembak menembak di sebuah rumah teres di Taman Emas Skudai pada 12.05 tengah malam tadi.
Menurut beliau, sepasukan polis yang hadir ke rumah berkenaan telah memperkenalkan diri namun tiada individu membuka pintu.
“Sebaik sahaja polis memasuki rumah berkenaan, beberapa das tembakan dilepaskan dari dalam rumah ke arah mereka.
“Berlaku kejadian berbalas tembakan dan tiga suspek lelaki berusia di antara 35 sehingga 45 tahun telah terkena tembakan dan meninggal di tempat kejadian.
“Pemeriksaan polis di rumah itu menemukan sebilah parang dan dua pucuk pistol,” jelasnya.
Tambah Mohd Shuhaily, siasatan awal mendapati, kumpulan ini hanya terlibat dengan satu kes culik.
“Kita (polis) sedang menyiasat di mana wang tebusan yang dibayar disimpan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian culik berkenaan diminta tampil membantu siasatan,” katanya.


























