Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil inisiatif mengurangkan penggunaan gula dalam minuman untuk semua acara dan mesyuarat dianjurkan sebagai langkah mengatasi penyakit diabetes yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu berkuat kuasa hari ini selepas diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri berikutan kebimbangan penyakit itu berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang merekodkan jumlah rakyat Malaysia menghidap diabetes mencecah 15.5 peratus.
“Semua minuman disediakan secara gula tidak dimasukkan. Jadi, kita akan kurangkan penggunaan gula.
“Biar manis di senyuman, bukan di minuman. Ini adalah keputusan jemaah menteri untuk mewujudkan satu suasana yang lebih sihat,” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca Kabinet di sini.
Berdasarkan NHMS 2023, kumpulan rakyat tertinggi menghidap penyakit tidak berjangkit itu adalah berusia 60 tahun ke atas iaitu sebanyak 38 peratus, diikuti 50 hingga 59 tahun (28.8 peratus), 40 hingga 49 tahun (15.2 peratus), 30 hingga 39 tahun (6.5 peratus) dan 18 hingga 29 tahun (3.2 peratus).


































