Hajiji mengiringi Tun Juhar melawat pameran sempena sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menghadiri majlis sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan, di sini, hari ini.
Beliau tiba kira-kira jam 7.48 pagi kemudiannya menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dengan diiringi oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin yang tiba pada jam 8 pagi kemudian turut menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan PDRM (Pecah Bendera) dan memeriksa kawalan kehormatan.
Sambutan itu diisi dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, Bendera Sabah serta lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, Tiupan Paluan Akhir “The Last Post” oleh PDRM, persembahan khas oleh Angkatan Tentera Malaysia, bacaan sajak pahlawan, tiupan “Rouse”, pameran dan penyampaian sumbangan kepada balu dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa Peristiwa Tanduo Lahad Datu.
Juhar bersama Hajiji dan jemputan lain turut meluangkan masa melawat Pameran Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri.
Turut hadir Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Timbalan-timbalan Speaker DUN dan Pembantu-pembantu Menteri.


































