Nizam menyampaikan cenderamata kepada Ranahwaty
KOTA KINABALU: Biro Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sabah, Ratnawaty Talib di Pejabat SKMM Sabah di sini hari ini.
Rombongan itu diketuai Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.
Kunjungan hormat ini bertujuan bagi memperkukuh hubungan di antara SKMM dan Biro Penerangan Gagasan Rakyat Sabah selain membincangkan isu-isu semasa.
Dalam pertemuan tu Nizam mencadangkan SKMM Sabah unyuk memperkenalkan satu seksyen yang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menghukum kesalahan yang berkaitan dengan buli siber ‘cyberbullying’.
Katanya, dalam era digital hari ini, platform media sosial telah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat, menawarkan peluang yang tiada tandingan untuk perhubungan, komunikasi dan pembinaan komuniti.
“Kita semua perlu bangkit menentang segala bentuk buli dan singkirkan orang toksik daripada merosakkan komuniti alam maya.
“Jangan biarkan pembuli siber berleluasa, menjejaskan individu dari semua peringkat umur dan latar belakang termasuk memfitnah pemimpin, bersikap mengganggu, mengancam, menghina dan merendahkan seseorang.
“Tidak seperti buli tradisional, buli siber berbahaya kerana boleh berlaku 24 jam sehari, tujuh hari seminggu selain tiada sempadan masa dan tempat,” kata Nizam.
Beliau berkata, pembuli siber berani bertindak demikian kerana berselindung di sebalik nama samaran dan akaun palsu dengan sewenang-wenangnya membuat komen jelik, ugutan dan hinaan.
Nizam menambah, tindakan tersebut kemudian memberi kesan emosi dan psikologi ke atas mangsa sehingga boleh menyebabkan tekanan dan kemurungan serta dalam kes yang teruk mencederakan dan membunuh diri.
Oleh itu katanya, semua orang harus tahu sempadan serta had dalam membenarkan diri mereka di buli di alam siber selain bijak menjauhi atau menyekat golongan pembuli berkenaan.
Katanya, kebanyakan platform media sosial menawarkan alat untuk menyekat pembuli siber selain boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti SKMM.
Turut hadir sama Pegawai Kerja Biro Gagasan Rakyat, Halil Rufili, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din, Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat, Barhul Sahibu dan ahli jawatankuasa Biro Penerangan Julia Abt.


































