IPOH: Lima pelajar lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pukul seorang pelajar junior dalam kejadian pergaduhan di sebuah sekolah berasrama di sini, Rabu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan terhadap pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu dibuat sekitar pukul 11 pagi semalam.
Katanya, siasatan terhadap kesemua pelajar itu dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Tangkapan terhadap kelima-lima pelajar itu dibuat berikutan laporan polis oleh pelajar lelaki tingkatan satu yang mendakwa dipukul oleh senior.
“Kejadian yang dipercayai berlaku berpunca akibat salah faham itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti motif pergaduhan selain mengesan suspek lain yang terlibat.
“Kelima-lima remaja yang telah dirakam percakapan itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam,” ujar beliau.


































