Muammar menyampaikan cenderamata kepada Tan bersama-sama dengan ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Likas.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas melahirkan keyakinan bahawa hubungan baik dengan Pakatan Harapan (PH) akan terus kekal dan kukuh sehingga Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Muammar Julkarnain berkata, pada masa kini hubungan berkenaan berjalan dalam keadaan baik dan tidak timbul sebarang masalah di Sabah ini.
Menurut beliau, jika wujud sebarang isu perbezaan pendapat itu adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi dan kerjasama serta tidak menjejaskan matlamat bagi kedua-dua gabungan parti.
“Saya penuh percaya, jalinan kerjasama Gagasan Rakyat dan PH akan terus dapat diperkukuhkan khususnya dalam usaha kita memajukan negeri dan menyatupadukan rakyat.
“Gagasan Rakyat amat selesa bekerja dengan PH Sabah serta parti-parti lain yang menyertai kerjasama membentuk Kerajaan Negeri ketika ini. Kita melihat wujud keserasian dalam mentadbir negeri pada masa ini dan tidak ada sebab untuk gabungan tempatan itu menjalinkan kerjasama dengan parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat Gagasan Rakyat Likas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Likas, Tan Lee Fatt yang juga Pembantu Menteri Kewangan, di Kementerian Kewangan, di sini, kelmarin.
Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din; Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Likas, Shamee Mohd Ron; Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Likas, Noor Azee Ashikeen Angsari, Setiausaha Bahagian Gagasan Rakyat, Zakaria Mandalam; Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Likas, Mohd Shahezam Salisi serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian Gagasan Rakyat Likas.
Kunjungan hormat ini juga bertujuan menjemput Tan sebagai jemputan khas ke mesyuarat Gagasan Rakyat Likas yang akan diadakan pada 17 Ogos ini.
Muammar berkata, kerjasama berkenaan telah terbukti berjaya dan sewajarnya diteruskan bagi jangka masa panjang demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sabah sendiri.
“Hasrat kita adalah mahu satu bentuk kestabilan politik di Sabah seperti yang ada pada hari ini. Tanpa kestabilan politik serta kepimpinan kerajaan yang kuat sukar untuk sesebuah kerajaan merancang serta melaksanakan program kemajuan negeri.
“Sebab itu, kita mahu rakyat Sabah keseluruhannya turut memberi sokongan padu kepada kerjasama baik antara Gagasan Rakyat dan PH hari ini dan berterusan sehingga Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum,’ katanya.
































