Sebahagian daripada senjata api dan peluru yang dirampas oleh polis Pulau Pinang dalam beberapa serbuan di sekitar Sungai Bakap, Pulau Pinang, Sabtu lalu.
GEORGE TOWN : Polis menahan empat lelaki warga tempatan bersama tiga pucuk pistol termasuk dua pucuk pistol angin serta beberapa butir peluru dalam beberapa serbuan di Sungai Bakap, dekat sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 27 tahun itu ditahan bagi membantu satu kes pergaduhan yang berlaku pada 13 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki di Juru yang kemudiannya membawa penahanan tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Pemeriksaan di sebuah rumah milik seorang daripada lelaki yang ditahan itu kemudian menjumpai pelbagai senjata api termasuk dua pucuk pistol angin jenama We Tactical bersama kelopak tanpa peluru, satu kelopak, satu bungkusan ‘ball bearing’ dan satu botol tertera tulisan ‘green gas’ di rumah tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Hamzah, hasil pandu arah oleh suspek ke sebuah pejabat di Kampung Baru Valdor, Sungai Bakap kemudiannya membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Glock buatan Austria berwarna hitam.
“Selain pistol, kita juga merampas kelopak peluru pistol jenis Glock tertera tulisan Austria, peluru tertera tulisan WCC 17, tiga peluru tertera tulisan S&B Auto 45 dan peluru tertera tulisan PMC Auto 45,” katanya yang memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan dadah.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam (28 Julai) hingga 1 Ogos ini.
“Tiga daripada suspek disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa manakala seorang lagi suspek yang berusia 27 tahun pula disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya.


































