Armizan Mohd. Ali semasa majlis perasmian Stesen Petronas Bukit Garam, Kinabatangan, hari ini.
KINABATANGAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka gerakan massa dalam usaha memerangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi bahan api diesel dan RON95 di Sabah dan Sarawak.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, gerakan massa yang melibatkan orang ramai sedang dirangka itu untuk membantu penguatkuasaan dalam memerangi ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penyaluran maklumat.
Beliau berkata, stesen-stesen minyak akan menjadi pusat gerakan manakala, syarikat minyak pula sebagai rakan strategik dalam menjayakan gerakan massa yang memberi fokus kepada Sabah dan Sarawak itu.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan subsidi diesel dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat khususnya golongan sasar.
Pada tahun ini, kata beliau, anggaran subsidi bahan api diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mencecah RM3.6 bilion.
“Gerakan ini dilaksanakan susulan daripada keputusan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berperingkat bermula dengan Semenanjung Malaysia.
“Pengecualian subsidi bersasar kepada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dilakukan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebergantungan tinggi pengguna di Sabah dan Sarawak kepada penggunaan kenderaan bahan api diesel disebabkan faktor geografi dan taraf jalan perhubungan darat dan air
“Susulan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan kaedah sedia ada penyaluran subsidi pukal diesel di peringkat runcit bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya semasa merasmikan Stesen Petronas Bukit Garam, di sini hari ini.
Kata beliau, kerajaan tidak pernah menafikan isu ketirisan yang meliputi penyelewengan dan penyeludupan bahan api diesel juga berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Maka, semua agensi penguatkuasaan telah diarahkan untuk memperkasa strategi dan pendekatan bagi meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.






























