Aksi tiga pemanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh dalam pusingan kelayakan memanah individu wanita Sukan Olimpik Paris 2024 di Esplanade des Invalides, kelmarin- Ihsan MOM
PETALING JAYA: Pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh memulakan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 dengan positif apabila mengakhiri saingan penentuan ranking individu di kedudukan ke-14 daripada 64 peserta.
Menurut Utusan Malaysia, atlet berusia 24 tahun itu berjaya memadam rekod peribadinya 649 mata ketika Piala Dunia Memanah Stage III di Turkiye apabila meraih 663 mata ketika saingan kelayakan acara individu wanita, kelmarin.
Bagaimanapun, Syaqiera tidak mahu terlalu gembira dengan catatan itu sebaliknya mahu fokus dalam membuat perhitungan dengan pemanah dari Moldova, Alexandra Mirca pada pusingan kalah mati pada 30 Julai ini.
“Saya belum pernah menentang Mirca. Apa yang pasti, saya mahu kekal fokus dan memberi segala yang saya ada pada hari pertandingan nanti.
“Saya enggan meletakkan sasaran berikutan tidak mahu merasai tekanan. Apa yang kita boleh buat adalah membuat persiapan dengan secukupnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementra itu, ceritanya berbeza buat atlet sandaran negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi yang kecewa dengan aksi yang dipamerkan selepas menduduki carta ke-50 dengan kutipan 622 mata.
Ariana yang menginjak ke usia 19 tahun hari ini berkata, tahap kecergasannya tidak berada dalam keadaan terbaik biarpun cuaca dan angin ketika itu memihak kepada kem memanah negara.
“Saya kecewa kerana peluang itu jelas terbuka kepada saya namun keadaan badan tidak memihak kepada saya. Perkara ini tidak pernah berlaku kepada saya dan agak memberi kejutan kepada saya.
“Bagaimanapun, saya mengambil ini sebagai pengajaran dan saya enggan mengenang benda yang sudah lepas. Saya akan tampil dalam keadaan terbaik pada acara berpasukan dan individu selepas ini,” kata Ariana.
Ariana akan berdepan laluan yang berliku apabila dijadualkan bertemu pemanah dari Itali, Chiara Rebagliati yang berada di kedudukan ke-15 selepas mengutip 663 mata.
Sementara itu, seorang lagi pemanah negara, Nurul Azreena Mohamad Fazil berada di kedudukan ke-60 selepas membidik 622 mata secara keseluruhan.
Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berdepan cabaran yang besar selepas dijadualkan menentang Elif Berra Gokkir dari Turkiye yang menduduki tempat kelima pada awal pagi, 1 Ogos ini.
































