Hajiji mempengerusikan mesyuarat MTPNg.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan jabatan dan agensi untuk menangani halangan yang menghalang pelaksanaan projek pembangunan di Sabah dengan segera.
Mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu di sini hari ini, Ketua Menteri berkata, terdapat 1,218 projek sedang dilaksanakan di Sabah tetapi 25 daripadanya telah dikategorikan sebagai ‘sakit’.
Projek ‘sakit’ ini termasuk tenaga, air, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan kemudahan lain yang tidak disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kesemua projek ini adalah kepentingan awam, justeru segala usaha perlu diambil untuk memberi keutamaan dan memastikan ia siap,” katanya.
Majlis itu juga telah diberi taklimat mengenai Jawatankuasa Khas Bersama Negeri-Persekutuan yang telah dibentuk yang ditugaskan untuk memantau projek pembangunan di Sabah, terutamanya projek bermasalah.
Mengenai program pembasmian miskin tegar, majlis itu diberi taklimat oleh sekretariat SMJ bahawa Sabah berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran miskin tegar sifar.
Ketua Menteri mengulas bahawa adalah penting Kerajaan Negeri melalui sekretariat SMJ memperkenalkan intervensi bagi mengurangkan lagi insiden miskin tegar di negeri ini.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Hajiji menggesa agensi pelaksana Persekutuan dan Negeri memaksimumkan penggunaan RM6.6 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan Negara 2024 untuk pembangunan di Sabah tahun ini.
Peruntukan itu meliputi pelbagai program pembangunan termasuk tebatan banjir, pemulihan Sungai Tuaran, pembinaan sekolah baharu, membaiki sekolah usang dan membina klinik baharu serta premis Tamu Desa.
“Adalah mustahak bagi semua jabatan dan agensi di Sabah menggunakan sepenuhnya peruntukan dan penurunan kuasa bagi agensi teknikal di Sabah untuk melaksanakan projek pembangunan yang menelan belanja di bawah RM50 juta bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata, agensi pelaksana Persekutuan dan Negeri mesti mengeratkan hubungan antara mereka, meningkatkan prestasi dan meningkatkan kualiti projek untuk manfaat rakyat.
“Kita sudah melepasi pertengahan tahun jadi saya mahu kita semua meneliti dan menyemak prestasi kita terhadap sasaran masing-masing dari segi pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan dan Negeri.
Sehingga 15 Julai tahun ini, Sabah telah membelanjakan RM1.791 bilion atau 35.46 peratus berbanding prestasi negara sebanyak 43.45 peratus di bawah Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12.
Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Menteri Kabinet lain turut hadir.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Persekutuan, Datuk Armizan Mohd. Ali dan Datuk Ewon Benedick.


































