Keadaan runtuhan dinding bangunan Pasar Raya Besar Mydin Manjoi di Ipoh kelmarin.
IPOH: Dua remaja lelaki cedera selepas terkena serpihan batu dari runtuhan dinding bangunan Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi, di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 4.45 petang.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya segera diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Runtuhan melibatkan dinding sebelah kanan bangunan pasar raya di mana dua individu yang menunggang motosikal dikatakan telah terkena serpihan batu ketika melalui jalan bersebelahan bangunan tersebut.
“Operasi tidak melibatkan kerja-kerja menyelamat kerana ketika pasukan tiba di lokasi, kedua-dua mangsa yang cedera ringan telah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya di sini kelmarin.
Media pada 10 Mac lalu melaporkan, bomba menerima laporan kejadian kebakaran pasar raya itu pada pukul 7.09 malam melibatkan bilik suis utama di tingkat atas bangunan.
Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bumbung dan tingkat satu yang menempatkan pakaian, barangan elektrik dan stor barangan selain berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis.
Siasatan mendapati, kebakaran berpunca daripada panel pembahagi elektrik di bilik stor tingkat atas premis berkenaan.

































