Aksi Bertrand Rhodict Lises pada Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun yang memberikan tiket Olimpik kepadanya.
PETALING JAYA: Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises enggan meletakkan sebarang tekanan terhadap dirinya untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Menurut Utusan Malaysia, Bertrand beraksi dalam 10 meter (m) platform berkata, tekanan semestinya dirasai namun atlet berusia 19 tahun itu tidak mahu membiarkan perasaan tersebut menguasai dirinya.
“Saya amat berharap dapat memberikan aksi terbaik kerana Sukan Olimpik bukan selalu diadakan. Ia empat tahun sekali jadi saya kena bagi yang terbaik.
“Tidak dinafikan setiap kali saya beraksi dalam mana-mana kejohanan perlu fokus tetapi pada masa sama saya kena menikmatinya juga.
“Apabila kita terlalu fokus, otak mula akan fikir perkara negatif. Jadi, saya mahu menikmatinya dan fokus apa yang patut sebab tekanan itu memang akan rasa sebab saya sudah sampai (Paris).
“Saya perlu menikmati temasya ini kerana jika terlalu tertekan dan sendiri tidak dapat melakukan yang terbaik saya akan salahkan diri saya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Bertrand mendapat suntikan motivasi apabila keluarganya turut hadir ke paris bagi menyaksikannya penampilan sulung pada temasya terbesar di dunia itu.
“Ibu bapa dan kakak saya akan datang. Saya cuma nak cakap terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada saya selama ini,” katanya.
Bertrand yang diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Olimpik bersama atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif akan turun beraksi pada 9 Ogos.

































