PETALING JAYA: Platform media sosial Facebook paling banyak digunakan untuk tujuan buli siber sejak 2022 hingga 9 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, sebanyak 3,966 aduan diterima pihaknya membabitkan platform Facebook berkaitan kes buli siber.
“Sejak 2022 hingga 9 Julai lalu, MCMC menerima sebanyak 9,483 laporan buli siber Daripada jumlah terbabit, medium Facebook dikesan paling tinggi berlaku kes buli siber membabitkan 3,955 laporan.
“Ia diikuti dengan aplikasi Whatsapp iaitu 1,712 aduan serta Instagram (981),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut MCMC, wanita paling ramai menjadi mangsa buli siber iaitu 4,878 orang.
“Kes buli siber paling banyak berlaku di Selangor iaitu 3,702 kes diikuti Kuala Lumpur (1,031 kes) dan Johor (826 kes),” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan lawak jenaka atau gurauan sehingga mengaibkan individu antara 9,483 laporan buli siber diterima MCMC sejak 2022 hingga 9 Julai lalu.
MCMC berkata, ramai menganggap komen atau tindakan di media sosial adalah berbentuk gurauan perkara biasa namun apabila sehingga mengaibkan seseorang ia merupakan satu buli siber.
Jelasnya,sikap terlalu selesa dengan tindakan membuli di alam siber turut menyumbang kepada peningkatan kes secara berterusan.
“Sikap masyarakat yang meluangkan lebih masa di media sosial sekali gus membuka ruang dan peluang berlakunya kes ‘membuli’ di media sosial.
“Justeru, kerajaan perlu meneliti segala aspek undang-undang bagi gejala yang dilihat membimbangkan itu,” katanya.


































