BESUT: Seorang pelancong asing ditahan polis dipercayai mencabul kehormatan seorang wanita tempatan berusia 19 tahun di Pulau Perhentian di sini, Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki warganegara Morocco berusia 20an itu ditahan setelah pihak polis menerima aduan berkenaan kes tersebut.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa merupakan seorang ‘therapist’ (ahli terapi) di sebuah spa di Pulau Perhentian dan dikatakan dicabul semasa memberikan perkhidmatan urutan ke atas lelaki berkenaan.
“Sehubungan dengan itu tangkapan telah dilakukan ke atas suspek dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tangkapan bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Menurut Abdul Rozak, permohonan reman ke atas suspek telah dimohon di hadapan Majistret Daerah Besut dan dibenarkan selama empat hari bermula kelmarin.
“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang akan mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah seksyen 354 kanun keseksaan.


































