Antara serbuan di lima premis rumah urut dipercayai terlibat dengan aktiviti pelacuran di sekitar Bukit Bintang dekat sini, 10 Julai lalu. – Ihsan Imigresen
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan 56 warga asing dalam serbuan di lima premis rumah urut dipercayai terlibat dengan aktiviti pelacuran di sekitar Bukit Bintang dekat sini, 10 Julai lalu.
Operasi bermula pada pada 9.30 malam melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 91 individu terdiri daripada 20 lelaki dan 41 perempuan warga asing serta 30 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 56 individu ditahan melibatkan warga Bangladesh, Myanmar, Thailand dan Sudan berusia antara 20 hingga 50 tahun atas pelbagai kesalahan.
“Lokasi serbuan merupakan premis kedai dua tingkat dan berada di tengah pusat bandar ini agak mencabar kerana laluan masuk ke kawasan premis sesak dengan kehadiran pelancong dan kenderaan sekaligus menyukarkan pergerakan pasukan operasi masuk ke sasaran.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral yang berselindung di sebalik perkhidmatan rumah urut di kawasan tumpuan pelancong tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurutnya, turut ditahan, dua warga tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis.
Jelas beliau, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Kita meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.






























