Andi Muhammad Suryady Bandy
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) sentiasa komited dalam meningkatkan kebolehupayaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, ini dilakukan melalui program-program seperti berikut:
1. Program Bantuan SME-UP: Program Bantuan SME-UP di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) diwujudkan bagi membantu para usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kualiti produk yang berpotensi untuk dikomersialkan di dalam dan luar negeri Sabah. Kategori bantuan yang ditawarkan pada tahun ini ialah:
i. Mesin serta peralatan; dan
ii. Peningkatan kualiti pembungkusan.
Usahawan yang berminat pada tahun ini boleh memohon melalui portal SME-Up di laman sesawang DIDR.
2. Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS-MIDE): Kementerian juga turut melaksanakan Program Transformasi Usahawan Sabah atau TRUS-MIDE bagi membantu para usahawan menambah kualiti pembungkusan agar mampu menembusi pasaran di pasaraya-pasaraya tempatan termasuk luar negeri. Bantuan yang ditawarkan kepada produk usahawan adalah seperti reka bentuk produk baharu, maklumat kandungan nutrisi; cetakan kod bar dan maklumat tarikh luput.
3. Kursus Pembangunan Keusahawanan: Kementerian juga komited dalam menganjurkan pelbagai kursus Pembangunan Keusahawanan bagi membantu usahawan meningkatkan kemahiran bagi mengembangkan potensi perniagaan. Antara kursus yang dianjurkan di bawah Kementerian adalah:
i. Kursus Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI);
ii. Kursus Peningkatan Kualiti Produk melalui Teknologi Retort;
iii. Kursus Pematuhan Pensijilan Halal; dan
iv. Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH).
4. Program Pemasaran di Pasaraya Tempatan: Kementerian melalui DIDR juga telah berkolaborasi bersama pasaraya tempatan seperti Pasaraya Bataras dan Kedai Mesra Petronas bagi membantu usahawan tempatan memasarkan produk mereka. Melalui kolaborasi ini, hasil jualan produk-produk usahawan tempatan merekodkan jumlah yang memberansangkan. Buktinya, produk usahawan di Pasaraya Bataras telah merekodkan hasil jualan sebanyak RM3.64 juta pada tahun 2023. Manakala hasil jualan di Kedai-Kedai Mesra Petronas pula adalah sebanyak RM2.46 juta.
5. Penganjuran Karnival PMKS Sabah: Karnival PMKS Sabah merupakan program bagi membantu para usahawan meneroka peluang pasaran baharu, meningkatkan hasil jualan, menjalankan padanan perniagaan bersama pasaraya tempatan dan mempromosi produk PMKS. Pada tahun ini, dua Karnival PMKS Sabah telah diadakan iaitu di Luyang dan Tawau. Manakala dua lagi Karnival PMKS Sabah akan diadakan di Keningau pada 26 hingga 28 Julai ini dan daerah Beaufort pada bulan Oktober ini.
6. Program Pemasaran Produk IKS Sabah ke luar negara: Kementerian turut membantu para usahawan untuk mempromosikan produk agar mampu menembusi pasaran luar negara melalui pemasaran produk IKS Sabah di ekspo-eskpo bertaraf Antarabangsa. Pada tahun ini, MIDE mensasarkan nilai potensi jualan Usahawan IKS Sabah adalah sebanyak RM50 juta berbanding pencapaian pada tahun lepas adalah sebanyak RM30.25 juta. Jika sasaran ini dapat dicapai, maka anggaran peratus pencapaian nilai potensi jualan Usahawan IKS Sabah dapat ditingkatkan sebanyak 40 peratus berbanding pencapaian pada tahun lepas. Oleh itu, berikut adalah antara ekspo-ekspo yang telah dan akan disertai pada tahun ini ialah:
i. Gulfood Expo di Dubai;
ii. Foodex di Tokyo;
iii. Thaifex Anuga Asia di Bangkok;
iv. World’s Food Expo di Manila;
v. HKTDC Food Expo Pro di Hong Kong; dan
vi. MIHAS @Dubai.
Andi berkata, hasil penyertaan dari enam ekspo yang telah berlangsung, Usahawan IKS Sabah telah berjaya menjana nilai jualan kaunter sebanyak RM830,000 dan potensi jualan sebanyak RM30.3 juta.
“Nilai ini telah melepasi pencapaian pada tahun lepas dan diharap sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” tambahnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga bersama-sama Persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Cina tempatan dan Dewan-dewan Perniagaan Cina akan menganjurkan Sabah-China Business Summit 2024 (SCBS2024) pada 22 hingga 24 November 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Program SCBS 2024 ini dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun yang ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China khususnya Sabah dan China.
“Saya berharap usahawan IKS khususnya di Sabah mampu memanfaatkan peluang-peluang yang ada seperti program, kursus dan bantuan yang disediakan di bawah Kementerian saya agar mampu bersaing diperingkat global dan seterusnya meningkatkan ekonomi Sabah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah usaha Kementerian untuk meningkatkan industri kecil dan sederhana di Sabah.


































