Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) pada tahun ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sehingga 31 Mei 2024, Program PANTAS telah berjaya menyelesaikan pengukuran sebanyak 31,518 lot tanah Anak Negeri dengan jumlah keluasan tanah 46,285,411hektar (atau 114,373,741 ekar) yang melibatkan 145 buah kampung yang terletak di 22 buah daerah di seluruh Sabah.
Katanya, sebanyak 250 geran tanah hasil pengukuran PANTAS di DUN Kadamaian telah tersedia untuk diserahkan bila-bila masa.
“Program PANTAS di Kg. Tambatuon pula sedang dijalankan dan dijangkaakan selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2024. Manakala, kebenaran dari Pihak Berkuasa Negeri untuk melaksanakan Program PANTAS bagi Kg. Togudon di kawasan Moyog telah diterima pada 3 Julai 2024. Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kawasan tersebut bagi memulakan pengukuran tanah.
“Bagi Daerah Telupid, Jabatan Tanah dan Ukur telah selesai menjalankan pemeriksaan ke atas empat buah kampung yang didapati sesuai untuk dilaksanakan Program PANTAS. Kampung-kampung yang dimaksudkan adalah Kg. Ansuan, Kg. Wonod, Kg. Buis, dan Kg. Bouto. Kebenaran melaksanakan Program PANTAS untuk keempat-empat kampung tersebut di atas telah diperolehi pada 28 Jun 2024 yanglalu. Pada masa kini, Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kampung-kampung tersebut untuk memulakan pengukuran tanah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) yang bertanya berapakah peruntukan yang disediakan untuk Program PANTAS dan adakah kampung dalam kawasan DUN Kadamaian dan DUN Moyog yang akan terlibat dalam program tersebut pada tahun ini dan tahun depan.
Program PANTAS yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan telah bermula pada tahun 2011.
Nizam berkata, kriteria-kriteria kawasan yang boleh dipertimbangkan untuk Program PANTAS ialah tanah Kerajaan yang telah diduduki oleh Anak Negeri secara turun-temurun, kawasan yang berkeluasan sekurang-kurangnya 200 ekar, kawasan yang telah diduduki dan diusahakan oleh penduduk berstatus Anak Negeri dan berumur 18 tahun ke atas, dan keluasan setiap lot tidak melebihi enam hektar.


































