Hajiji (empat dari kanan) menerima kunjungan hormat daripada Ouyang (empat dari kiri). Turut hadir, Tiong (tengah) dan Dr Huang.
KOTA KINABALU: Sabah komited memperkukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai sektor untuk membawa lebih ramai pelabur dari negara itu datang ke negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, pada masa ini sudah ada pelabur dari China ke Sabah antaranya
Kumpulan Kibing yang melabur dalam pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
“Kehadiran pelabur-pelabur ke Sabah bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi negeri malah dalam masa sama dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Oleh itu, saya berharap lebih banyak lagi pelabur dari negara China melabur ke
negeri ini dan kita amat mengalu-alukan kehadiran mereka.
“Sudah pasti dengan lebih ramai pelabur datang termasuk dari China, ia akan
membawa petunjuk yang baik kepada ekonomi kita,” katanya ketika menerima
kunjungan hormat daripada Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Konsul
Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di
sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Josie Lai.
Ketua Menteri juga berkata, Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan terus bekerjasama untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di negeri ini.
“Saya berasa gembira dengan kehadiran ramai pelancong China ke Sabah terutama
selepas Covid-19. Saya berharap kehadiran pelancong dari China akan terus meningkat. Justeru, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Persekutuan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di negeri ini.
“Saya juga mahu isu-isu berkaitan keselamatan pelancong yang datang ke negeri ini akan diberi keutamaan. Kita tidak mahu berlaku kes yang tidak diingini membabitkan pelancong luar di negeri ini.
“Kerajaan Negeri akan buat yang terbaik untuk memastikan keselamatan orang ramai termasuk pelancong ke negeri ini,” katanya
Program Sabah-Malaysia Rumah
Keduaku (Sabah-MM2H) turut disentuh semasa kunjungan hormat tersebut.
Ketua Menteri mahu Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperincikan mengenai isu berkenaan.
Sementara itu, Ouyang berkata, jumlah kedatangan pelancong dari China ke Malaysia dijangka meningkat dua kali
ganda pada musim panas bulan Julai ini.
“Sudah tentu pelancong yang datang ke Malaysia juga akan berkunjung ke Sabah,”
katanya.
Selain pelancongan, beliau berkata, Kerajaan China menggalakkan pelaburan dari negara itu ke Malaysia dalam bidang teknologi tinggi seperti ekonomi digital, AI, solar dan e-dagang.
“Sudah pasti kedua-dua negara akan menerima manfaat daripada hubungan dua hala ini khususnya dalam aspek pelaburan dalam bidang teknologi tinggi,” katanya.
































