KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam keterangan seorang lelaki yang terlibat dalam satu perselisihan faham yang tular baru-baru ini di PJU 8/8, Damansara Perdana, dekat sini, Rabu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya telah merakam percakapan individu yang memakai baju berlogo PDRM terlibat dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata, rakaman percakapan itu membabitkan lelaki tempatan berusia 40 tahun yang bekerja sebagai penjual basikal.
“Pemilik kenderaan jenis Volkswagen berkenaan sudah hadir bagi memberi keterangan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam (Isnin).
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Semalam, PDRM mengesahkan individu terbabit yang memakai baju T program Fun Ride anjuran pihak polis di Shah Alam bukan pegawai atau anggota jabatan itu seperti yang didakwa dalam hantaran media sosial tular.
Dalam hantaran itu, terdapat dua gambar serta satu rakaman video berdurasi 13 saat memaparkan seorang lelaki memakai baju T tertera logo PDRM yang didakwa meletakkan kenderaan di kawasan larangan.
Siasatan lanjut dilakukan mendapati kejadian pada pukul 8.30 pagi pada 3 Julai lalu semasa pemandu kereta Volkswagen terbabit menurunkan isterinya yang bekerja di sebuah premis berhampiran.


































