Pemain England meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2024 setelah menewaskan Switzerland 5-3 menerusi penalti pada aksi suku akhir kejohanan.
DUSSELDORF: England mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2024 selepas menewaskan Switzerland 5-3 menerusi penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 120 minit permainan.
Menurut Utusan Malaysia, perlawanan yang berlangsung seimbang itu menyaksikan Switzerland terpaksa menanti hingga minit ke-75 untuk menembusi gawang lawan hasil jaringan Breel Embolo.
Bukayo Saka muncul wira England apabila berjaya menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 10 minit sekali gus mengheret permainan memasuki masa tambahan.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan buntu mencari gol kemenangan sekali gus penentuan penalti terpaksa dibuat.
Cole Palmer, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Ivan Toney, Trent Alexander-Arnold menyempurnakan penalti buat England untuk memberi kemenangan 5-3 selepas sepakan pertahanan Switzerland, Manuel Akanji gagal disempurnakan.
“Menakjubkan. Ini adalah sasaran yang kami letakkan dalam diri kami. Sekali lagi bertemu lawan yang sukar, ketinggalan,pasukan menunjukkan banyak karakter, kepercayaan, jiwa dan semangat,” kata Alexander-Arnold.
England dijadual menentang Belanda dalam aksi separuh akhir kejohanan pada 11 Julai ini.
































