PETALING JAYA: Selepas 19 hari, seorang anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu yang dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei dekat Limbang pada 18 Jun lalu, ditemukan selamat hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd. Halim ditemukan selamat pada pukul 11.29 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) setelah 17 hari operasi tersebut dilancarkan.
“Syafiq telah berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau menemukan lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.
“Beliau ditemukan dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi. Beliau kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi sebelum mendapatkan pemeriksaan lanjut.
“Keluarga Syafiq telah dihubungi oleh TDM menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat. Semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan operasi itu, TDM menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“TDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada. Dengan penemuan Syafiq dalam keadaan selamat, maka operasi SAR ini ditamatkan,” katanya.
TDM pada sama mengucapkan kata penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi tersebut.
“Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini khususnya kepada Kerajaan Sarawak, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), individu serta semua yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga Syafiq berjaya ditemui selamat.
“TDM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi SAR ini dijalankan.
“Kerjasama erat antara TDM dan ABDB dalam operasi ini telah membuktikan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan operasi ini sehingga beliau berjaya ditemui dengan selamat,” katanya.


































