PETALING JAYA: Penerjun berpengalaman negara, Ooi Tze Liang mengakui tidak meletakkan sebarang harapan untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi kuota slot tambahan.
Menurut Utusan Malaysia, Tze Liang yang juga juara Sukan Komanwel Glasgow 2014 bagaimanapun berkata, beliau bersedia sepenuhnya untuk ‘terjun’ di Paris sekiranya rezeki memihak kepadanya.
Status Tze Liang hanya diketahui selepas pengesahan daripada Akuatik Dunia pada 8 Julai ini berhubung jumlah atlet yang akan beraksi dalam acara 3 meter (m) papan anjal lelaki di temasya terbesar dunia itu.
“Berdebar menunggu keputusan. Terpulang kepada tuhan kalau ada nama saya bersyukur dan jika tiada saya akan meneruskan latihan untuk kejohanan seterusnya.
“Selepas menyertai Kejohanan Akuatik Dunia di Doha pada Februari lalu, saya berlatih dengan mengekalkan intensiti dan konsistensi yang sama. Saya juga telah diberitahu untuk berlatih seperti biasa sehingga dapat maklumat terkini,” katanya.
Tze Liang ditemui pemberita selepas ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengadakan lawatan pada sesi latihan yang turut disertai seorang lagi penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri.
Dalam pada itu, jika tidak tersenarai ke Paris, Tze Liang bersedia untuk mengalihkan tumpuannya kepada Kejohanan Terbuka Malaysia pada 7 hingga 9 November ini di Bukit Jalil.
Minggu lepas, Dhabitah menerima slot tambahan bagi acara 3m papan anjal wanita untuk menemani penerjun muda Bertrand Rhodict Lises yang layak secara merit bagi 10m platform lelaki ke Olimpik Paris.


































