SHAH ALAM: Pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif, Pengajian Seni Liberal (KPSK) Semester Tiga telah mengadakan lawatan ke Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah sempena Aidiladha pada 16 Jun lalu.
Jalinan ukhuwah dan tanggungjawab komuniti yang ditunjukkan oleh para pelajar dalam lawatan ini sekaligus dapat memberikan semangat baru serta menyemai rasa kasih sayang kepada anak-anak yatim. Kemesraan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh para pelajar telah membuatkan kanak-kanak tersebut kelihatan ceria dan gembira sepanjang aktiviti dijalankan.
Selain itu, beban mereka turut diringankan oleh para pelajar dan pensyarah, memperlihatkan keprihatinan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kesejahteraan anak-anak yatim ini. Ini juga cara yang terbaik untuk menggalakkan para pelajar dan juga pensyarah untuk menghayati erti kasih sayang dan berkongsi rezeki melalui program kebajikan, selain dapat
berbakti kepada komuniti dalam melaksanakan amal kebajikan.
Program Mentor Mentee 2024 Pengajian Seni Liberal yang bertajuk “Laila Al-Ma’idah” merupakan satu usaha membangunkan komunikasi yang kukuh disamping mengeratkan hubungan antara penasihat akademik dan pelajar Pengajian Seni Liberal serta tetamu istimewa anak-anak yatim. Terdapat empat program yang terlibat iaitu terdiri daripada program Pengurusan Industri Kreatif, Pengurusan Produksi Filem, Penulisan Kreatif dan Penulisan Skrin dari peringkat diploma hingga ijazah semester satu hingga semester empat bersama 25 orang pensyarah akademik dari Pengajian Seni Liberal.
Platform ini adalah merupakan sebahagian penilaian bagi subjek-subjek praktikal di bawah bidang Pengurusan Industri Kreatif. Di dalam program ini pelajar juga mengambil peluang meraikan anak-anak yatim dari Rumah Al-Mahabbah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat Kolej Pengajian Seni Kreatif, disamping dapat bermesra dan berkongsi juadah pada malam tersebut serta mencipta kenangan berharga bersama anak-anak yatim.
Bertemakan Islam Arabian Night, program pada malam tersebut bukan hanya menambah dimensi rohani tetapi juga menyaksikan pelbagai persembahan kerohanian, budaya dan warisan. Di samping itu, pelajar-pelajar diberi ruang dan peluang untuk berinteraksi dan merapatkan ukhuwah antara pelajar dan pensyarah.
Program yang penuh bermakna ini telah diusahakan sepenuhnya oleh pelajar semester tiga yang hanya melibatkan bilangan 34 orang. Kesungguhan mereka dalam mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan semangat dalam memupuk minat belajar serta membentuk identiti diri yang unggul dalam kalangan pelajar dan masyarakat umum adalah amat membanggakan pihak UiTM.
Program Mentor Mentee 2024 ini merupakan acara kemuncak bagi program Gempita 4.0 yang bermula dari 26 hingga 29 Jun 2024 di UiTM Puncak Perdana.
Menurut penasihat program Laila Al-Ma’idah, Ts. Azroz Mohd, setelah perbincangan bersama Ketua Pengajian, Ketua Bahagian, pensyarah dan pelajar, tema Arabian Night merupakan tema bagi program Malam Laila Al-Ma’idah yang diadakan sempena minggu Final Year Project bagi Gempita semester ini. Program ini bukanlah sekadar jamuan makan semata-mata tetapi besarlah harapan Azroz agar program ini dapat merapatkan hubungan antara semua yang hadir dalam program ini.
Selain itu, pendekatan Azroz untuk meraikan anak-anak yatim dengan menjemput kira-kira 25 orang daripada mereka termasuk pengiring untuk bersama-sama akan memeriahkan malam tersebut. Azroz berharap agar acara ini dapat menjadi platform untuk pelajar Pengajian Seni Liberal melepaskan stres mereka dengan menjamu selera dengan hidangan yang lazat. Bukan itu sahaja, pelajar yang menguruskan program ini akan dapat mempraktikkan teori pengurusan serta strategi yang dipelajari sepanjang semester.
Azroz berharap agar program ini dapat berjalan lancar dan mencapai kejayaan yang diharapkan.
Dalam pada itu, Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr. Ahmad Kamal Basyah melahirkan rasa berbesar hati atas kerjasama dan usaha yang ditunjukkan oleh para pelajar serta pensyarah.
Beliau menegaskan bahawa selain daripada dapat meluangkan masa bersama penasihat akademik masing-masing, para pelajar juga dapat saling mengenali antara satu sama lain walaupun daripada bidang dan program yang berbeza.
Dr. Ahmad juga memahami kepentingan Program Mentor Mentee yang memberi peluang kepada semua para pelajar Pengajian Seni Liberal untuk saling menghormati dan menganggap peserta Mentor Mentee sebagai satu keluarga besar yang perlu mereka kenali.
Malam tersebut telah diserikan lagi dengan persembahan istimewa daripada jemputan khas anak-anak yatim. Ini memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk beramah mesra bersama para pelajar dan mereka juga dapat mengetahui bagaimana kehidupan seorang pelajar universiti.
Program Mentor Mentee kali ini turut melibatkan pelbagai aktiviti menarik yang memberi kenangan menyeronokkan bagi kesemua tetamu yang hadir. Antara aktiviti utama adalah pertandingan yang melibatkan semua pelajar mengikut semester, seperti Pertandingan Dekorasi Qasr, para pelajar menghias khemah mengikut kelas masing-masing dengan kreativiti dan kemahiran mereka, manakala Pertandingan Pakaian Terunggul “Malik dan Malika” pula pemenang dipilih berdasarkan kriteria tertentu, iaitu seorang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan yang berpakaian terbaik.
Program Mentor Mentee 2024 Pengajian Seni Liberal dianjurkan bersama Gempita 4.0 yang bertarikh 26-29 Jun 2024, yang telah diadakan di Ruang Eksperimental FiTA, UiTM Kampus Puncak Perdana.
Untuk maklumat lanjut berkenaan program, boleh hubungi Nik Shafiq Nik Sopeian, +6011-5966 3024 atau Nur Amelia Mohd. Zailani, +6016-2002 658.


































