Nancy Shukri
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu, jumlah kelahiran hidup mencatatkan penurunan sejak 2012.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu berkait rapat dengan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) yang menunjukkan penurunan semakin ketara.
Selain itu, katanya, berdasarkan Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan. TFR di Malaysia menunjukkan penurunan daripada 2.1 anak pada 2010 kepada 1.6 (2022).
“Terdapat pelbagai faktor menyumbang penurunan TFR. Ini termasuk ekonomi, cara gaya hidup yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.
“Pada masa sama, masalah ketidaksuburan turut boleh mempengaruhi kadar TFR,” katanya ketika menggulung Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat, kelmarin
Mengulas lanjut, Nancy berkata, kementeriannya melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu ketidaksuburan.
Katanya, ia termasuk menawarkan rawatan kesuburan sejak 1979 pada kos berpatutan.
“Selain itu, klinik kesejahteraan lelaki yang menawarkan ujian saringan kesihatan lelaki, khidmat nasihat masalah seksual dan amalan gaya hidup serta rawatan ubat untuk membantu meningkatkan kesuburan lelaki.
“Ketiga, memberi insentif kepada pasangan dalam mendapatkan rawatan kesuburan dengan pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan sehingga RM8,000,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, LPPKN juga diberi mandat menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara yang dilengkapi segala kemudahan rawatan kesuburan di bawah satu bumbung bagi memberi perkhidmatan serba moden dan berpatutan.
“Pusat ini akan dibangunkan di Shah Alam, Selangor dan bakal menjadi pusat rujukan perkhidmatan kesuburan di Malaysia,” katanya.


































