Keadaan dari udara menunjukkan situasi banjir di bandar Guzhen, wilayah Anhui di timur China.
BEIJING: Hujan ribut paling teruk melanda wilayah Anhui di timur China, menjejaskan 811,000 penduduk dan memaksa 195,000 yang lain untuk berpindah.
Menurut Utusan Malaysia, Pentadbiran Meteorologi China (CMA) mengeluarkan amaran merah pada Ahad, melibatkan sesetengah kawasan di wilayah Jiangsu, Anhui, Jiangxi dan Guizhou.
CMA juga mengeluarkan satu lagi amaran biru, tahap paling rendah dalam sistem amaran, untuk cuaca perolakan seperti guruh, angin kencang dan ribut hujan batu.
Pada masa ini, 98 sungai di China dicatat melebihi paras amaran banjir, melibatkan wilayah Hunan dan Jiangxi, menurut Kementerian Sumber Air.
Sungai Yangtze, sungai terpanjang di China, merekodkan paras air melebihi tahap amaran dan terus meningkat.
Di Jiangxi, seramai 68,000 anggota Jabatan Pengurusan Kecemasan dikerah untuk memeriksa benteng, mengawal banjir dan terlibat dalam usaha menyelamat.
Di Hunan, kira-kira 547,800 penduduk terjejas bencana, dengan 163,600 daripadanya dipindahkan daripada kawasan berbahaya.
Banjir teruk di wilayah itu turut menjejaskan infrastruktur lebuh raya dan jalan utama negara serta wilayah, termasuk 337 jalan luar bandar.
Lapor Xinhua, enam pasukan petugas dihantar untuk memantau kawalan banjir dan usaha bantuan bencana di Heilongjiang, Jiangxi, Anhui, Hubei, Hunan serta Zhejiang.
Kementerian Kewangan memperuntukkan 45 juta yuan (RM29 juta) kepada wilayah terjejas di Anhui, Hubei, Chongqing dan Heilongjiang, bagi kerja-kerja pembaikan jalan semasa musim banjir.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pengangkutan memperuntukkan 105 juta yuan (RM97 juta) bagi melaksanakan pembaikan jalan untuk tujuh wilayah.
































