Dr. Dzulkefly Ahmad
SEREMBAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memperincikan semakan semula prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi pelaksanaan ‘fasa hidup’ dengan Covid-19.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dalam semakan tersebut kementerian menumpukan kepada tiga perkara iaitu Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), pemakaian pelitup muka dan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan sebelum SOP dan garis panduan itu dikeluarkan kepada umum.
Menurutnya, negara kini telah beralih daripada transisi endemik kepada endemik sepenuhnya dan langkah-langkah yang terkait membabitkan tiga perkara tersebut telahpun dibentangkan dalam Kabinet dan mendapat kelulusan.
“Bagaimanapun maklumat secara terperinci termasuk tarikh pewartaan pelaksanaan mengenai perkara itu akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan,”katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2024 Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia di Nilai di sini, kelmarin.
Dr.Dzulkefly berkata lagi, negara kini mengambil sikap daripada transisi endemik kepada endemik sepenuhnya.
“Kita sudah tamat soal pandemik dan segala SOP semasa, sekarang nak keluar dari transisi endemik dengan fasa ‘living with the virus’,”katanya lagi.
Sementara itu, dalam program berkenaan, menurutnya, prevalen semasa penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan di negara ini sangat membimbangkan.
“Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang baharu saya umumkan menunjukkan peningkatan prevalen penyakit yang tinggi.
“Secara konsisten untuk sedekad lepas, bagi setiap dua orang dewasa, seorang adalah berlebihan berat badan dengan prevalen tahun lepas direkodkan sebanyak 54.4 peratus.
“Manakala satu daripada enam orang dewasa menghidap diabetes, oleh itu, lebih dari separuh orang Malaysia dewasa terdedah kepada risiko mendapat NCD akibat masalah berlebihan berat badan dan obesiti yang tidak terkawal,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, KKM juga sedang menangani pengambilan gula secara berlebihan melalui perancangan inisiatif ‘perang terhadap gula’.






























