Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri bakal beraksi buat kali kedua di pentas Olimpik pada Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi slot ‘unused quota’.
PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri bakal membuat penampilan kedua di Sukan Olimpik Paris apabila Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memilihnya untuk beraksi pada temasya berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, pemilihan Nur Dhabitah itu dibuat sejurus selepas Akuatik Dunia (WA) memberi slot ‘unused quota’ kepada Malaysia bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita pada temasya empat tahun sekali itu.
Keputusan berkenaan menyaksikan Bertrand Rhodict Lises tidak akan keseorangan menjelang temasya empat tahun sekali itu berlangsung bermula hujung bulan ini di bumi Paris.
Pengarah teknikal terjun, Bryan Nickson Lomas berkata, Nur Dhabitah bakal menggalas cabaran terbabit kerana beliau merupakan atlet paling senior bagi acara berkenaan.
“Berdasarkan calon yang kita ada, Nur Dhabitah akan dipilih untuk mengisi slot keemasan yang diberikan kepada WA. Beliau yang pernah beraksi di Tokyo menjadi sandaran kita dalam acara itu.
“Sebelum ini kami ada Wendy Ng Yan Yee, namun beliau sudah mengumumkan persaraannya, sekali gus Dhabitah mendapat slot tambahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, dua penerjun itu menjadi sandaran dalam acara 3m papan anjal, namun mereka terlepas peluang untuk layak secara merit apabila terkandas di Kejohanan Akuatik Dunia di Qatar, Februari lalu.






























