KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) (Pembubaran) 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat kelmarin walaupun menghadapi suasana kecoh antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Menurut Utusan Malaysia, bacaan kedua RUU tersebut lulus melalui undian blok dengan 93 menyokong, 63 (menentang) dan 66 (tidak hadir) selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selesai melakukan pembentangan kali kedua.
RUU berkenaan merangkumi pindaan yang diperuntukkan dalam 14 fasal keseluruhannya, termasuk Fasal 3 yang bertujuan memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan seterusnya membubarkan Mavcom.
Selain itu, Fasal 4 bertujuan mengadakan peruntukan bagi penurunan kuasa, hak, kewajipan, liabiliti dan obligasi Mavcom kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Pindaan Fasal 5 pula bertujuan memperuntukkan semua wang yang ada pada atau kena dibayar kepada Kumpulan Wang Suruhanjaya Penerbangan dan Kumpulan Wang Perkhidmatan Awam dipindahkan kepada Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.
Kumpulan Wang Suruhanjaya Penerbangan dan Kumpulan Wang Perkhidmatan Awam ditubuhkan di bawah Akta 771, manakala Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengikut Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788).
Fasal lain dipinda adalah Fasal 7 yang mana semua perjanjian yang masih berkuat kuasa semasa pembubaran Mavcom akan diletakkan di bawah CAAM.
Selain itu, Fasal 8 bertujuan mengadakan peruntukan kecualian bagi permohonan yang dibuat atau aduan yang diterima oleh Mavcom yang belum selesai diuruskan, kepada CAAM.
Anthony Loke berkata, industri penerbangan tidak lagi memerlukan dua badan bagi mengawal selia penerbangan awam negara.
Menurut beliau, mekanisme tunggal tersebut juga diguna pakai di kebanyakan negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan Republik Rakyat China.
Jelasnya, semua fungsi Mavcom akan terus dilaksanakan dan diperkasa oleh CAMM.
“Penggabungan ini juga akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada di samping meningkatkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hak trafik udara, Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), Permit Perkhidmatan Udara (ASP), Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) dan Lesen Pengendali Darat (GHL) yang diberikan kepada syarikat penerbangan, operator lapangan terbang atau pengendali darat yang diberi sebelum ini masih lagi berkuat kuasa.
Katanya, ia bagi memastikan perkhidmatan negara tidak terjejas dengan penggabungan Mavcom dan CAAM.
“Kerajaan komited dengan penggubalan RUU ini bagi memastikan pembangunan sektor penerbangan awam yang moden, mampan, selamat dan efisien,” katanya.

































