PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan menggantikannya dengan hukuman penjara 35 tahun kerana membunuh teman wanita yang enggan berkahwin dengannya, enam tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Gunasegaran, 43, pernah menggemparkan negara apabila memandu sendiri kenderaan yang membawa mayat kekasihnya ke Balai Polis Damansara, Petaling Jaya selepas kejadian itu.
Lelaki tersebut disabitkan membunuh kekasihnya di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Kota Damansara pada pukul 1.50 petang, 5 Februari 2018.
Naratif pendakwaan menunjukkan, Gunasegaran membeli pisau dan tuala dari pasar raya hiper dan membawanya dalam beg kelabu sebelum bertemu mangsa.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali turut memerintahkan banduan akhir itu dikenakan 15 kali sebatan dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula pada tarikh dia menyerah diri pada polis pada 5 Februari 2018.
Beliau yang turut bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan selepas berpuas hati rayuan itu tiada merit.
Panel tersebut berpuas hati Gunasegaran gagal membuktikan bahawa tindakannya terhadap mangsa berpunca daripada provokasi secara mengejut.
Bagaimanapun, panel itu menggantikan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 September 2021 dengan hukuman penjara selepas mengambil kira rayuan yang dikemukakannya.
Pada prosiding itu, peguam Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili Gunasegaran berhujah, lelaki tersebut menjalin hubungan selama tiga bulan dengan mangsa yang juga kerani di tempatnya bekerja.
Hujah peguam, bekas pengawal keselamatan itu bagaimanapun tidak dapat mengawal dirinya apabila mangsa memberitahu akan berkahwin dengan lelaki lain.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Khushairy Ibrahim berhujah, kejadian tersebut telah dirancang oleh perayu melalui tindakanya membeli pisau dari pasaraya hiper.
Hujah pendakwaan, wujud komunikasi melalui teks pesanan yang menunjukkan hubungan kedua-duanya semakin tawar.
Keterangan kes menunjukkan, kematian mangsa adalah akibat kecederan ekoran luka tikaman oleh senjata tajam di leher yang membawa kepada kematiannya.
Pada Februari 2018, media melaporkan seorang lelaki menggemparkan Balai Polis Damansara apabila memandu masuk ke situ membawa mayat kekasihnya yang didakwa dibunuhnya beberapa jam sebelum itu.
Lelaki berkenaan memandu masuk kereta jenis Honda City berwarna putih ke balai polis berkenaan kira-kira pukul 4 petang dengan membawa mayat teman wanitanya yang berusia 35 tahun di tempat duduk belakang.
Selepas memasuki balai, lelaki terbabit memaklumkan dia membawa teman wanita yang dibunuhnya di Kota Damansara dan datang ke balai untuk menyerah diri.

































