MUAR: Seorang penganggur berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM111,000 lebur ditipu sindiket pelaburan dalam talian palsu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 57 tahun Selasa.
“Mangsa membuat aduan tentang kejadian telah ditipu oleh individu yang menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus dalam tempoh dua bulan sekiranya membuat pelaburan. Mangsa telah didorong oleh individu berkenaan dengan iklan yang memaparkan berkaitan keuntungan yang telah diperoleh menerusi pelaburan saham tersebut.
“Mangsa berminat dan memberikan maklumat peribadi miliknya kepada individu tersebut untuk pendaftaran dan pembayaran keuntungan pelaburan. Mangsa yang merupakan penganggur menggunakan duit simpanannya telah membuat beberapa transaksi berjumlah RM111,000 ke dalam lima akaun yang didaftarkan atas nama syarikat yang berlainan sejak Mac hingga 29 April lalu untuk membuat pelaburan seperti yang diarahkan oleh individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.
Raiz Mukhliz berkata, mangsa telah diminta oleh individu tersebut untuk menambah lagi pelaburan namun berasa curiga dan menolak untuk menurut arahan individu tersebut.
Katanya, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan hasil daripada pelaburan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutamanya dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.
Orang ramai juga dinasihatikan sentiasa mengikuti nasihat dalam laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Tik Tok bagi mendapat maklumat tentang modus operandi sindiket penipuan.

































