PETALING JAYA: Tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan melanjutkan pengajian dalam program sarjana kepakaran bakal dipertingkat daripada 1,500 slot setiap tahun kepada 1,650 slot pengajian bagi sesi tahun 2024/2025.
Selain itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan meningkatkan peluang latihan kepakaran perubatan supaya lebih ramai doktor pakar dihasilkan melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway di Kementerian Kesihatan yang menawarkan 600 slot tajaan.
Katanya, ia adalah antara inisiatif Kementerian Kesihatan yang dilaksanakan bagi meningkatkan bilangan pakar perubatan dalam pelbagai bidang klinikal secara keseluruhan di seluruh negara.
“Melantik semula secara kontrak pegawai perubatan pakar warganegara yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan mengikut keperluan terutama di kawasan yang berkeperluan tinggi bagi perkhidmatan kepakaran.
“Menyediakan perkhidmatan kepakaran daripada pihak swasta untuk berkhidmat secara sessional dan menggalakkan pakar perubatan warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah doktor pakar yang masih berkhidmat dengan kerajaan mengikut bidang dan apakah langkah yang telah diambil bagi memastikan doktor pakar kekal berkhidmat di hospital awam seterusnya menjamin siap siaga mencukupi dalam semua bidang termasuk bidang kritikal.
Kata Dr. Dzulkefly lagi, antara strategi retensi pakar perubatan yang dilaksanakan ialah mewujudkan gred UD56 bagi pakar perubatan.
Katanya, pakar perubatan juga diberi kelonggaran untuk mengamal di sektor swasta di luar waktu bekerja biasa bagi menjana pendapatan tambahan serta diberi peluang satu hari waktu bekerja fleksi setiap minggu bagi tujuan penyelidikan atau berkhidmat di sektor swasta yang tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.
“Selain itu beberapa langkah lain termasuk elaun sebanyak RM200 sejam akan diberikan kepada pegawai perubatan pakar yang melakukan kes-kes pembedahan pada hari cuti hujung minggu bagi mengurangkan masa menunggu bagi kes-kes pembedahan elektif.
“Kadar Bayaran Insentif Pakar yang ditambah baik daripada kadar asal RM1,400-RM2,400 kepada RM1,900-RM3,100 mulai 1 Januari 2009 dengan peningkatan sebanyak RM500-RM700,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, jumlah pakar perubatan di Kementerian Kesihatan (yang telah diwartakan) adalah 8,397 orang manakala terdapat 1,276 pakar perubatan klinikal yang sedang diwartakan.


































