PETALING JAYA: Kerajaan sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas bahan api petrol RON95.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, buat masa ini tumpuan dan keutamaan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasarannya menjadi stabil.
Katanya, ia sekali gus mencapai objektif ditetapkan antaranya memperkukuh kemampanan fiskal negara serta mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi bahan api itu.
Menurut beliau, kerajaan akan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan golongan yang terkesan diberikan bantuan sewajarnya jika rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang.
“Di samping itu, pelaksanaan inisiatif ini juga membantu kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal dan mengoptimumkan sumber yang ada.
“Penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program dan projek yang lebih memberi manfaat dan benar-benar diperlukan oleh rakyat seperti penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial serta kemudahan awam termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanyakan bilakah subsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya seperti kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 November 2022.
Soalan itu merujuk apakah subsidi bersasar bagi petrol akan dilaksanakan tahun ini, selain jaminan kerajaan yang harga barang tidak akan terus meningkat selepas subsidi bersasar dilaksanakan.
Menurut Rafizi, kerajaan sejak 2016 telah menyediakan peruntukan subsidi dan bantuan sosial secara purata sebanyak RM23.0 bilion setahun dengan jumlah itu telah melonjak kepada RM67.3 bilion pada 2022 disebabkan kenaikan harga komoditi minyak mentah dan minyak sawit.
Katanya, memandangkan subsidi bahan api adalah komponen kedua terbesar yang meliputi 12.3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus pada 2023, maka terdapat keperluan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api tersebut.
“Penyasaran semula subsidi ini juga merupakan salah satu anjakan besar dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12). Initiatif ini penting dalam usaha memperkukuh kemampanan fiskal dan memastikan hanya kumpulan sasar yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan dan subsidi, seterusnya mengurangkan inclusion and exclusion error.
“Malaysia menyasarkan pengurangan defisit fiskal antara 3.5 dan 3.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2025,” katanya.
Jelas Ahli Parlimen Pandan itu, kerajaan telah melaksanakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel yang dijangka memastikan pengurusan subsidi lebih cekap.
“Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar yang telah dilaksanakan bermula 10 Jun 2024, dijangka dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang,” katanya.


































