BUTTERWORTH : Dua lelaki tempatan disyaki penjenayah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di sini, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 41 dan 54 tahun disahkan maut di lokasi kejadian kira-kira pukul 2 pagi.
Difahamkan, insiden berlaku semasa sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) menjumpai sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.
Ketika diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
Demi mempertahankan diri, anggota polis melepaskan tembakan balas ke arah suspek sebelum ditemui mati di tempat kejadian. Polis turut menemukan dua pucuk pistol serta peluru yang digunakan suspek dalam kenderaan terbabit.
Difahamkan, kedua-dua lelaki tempatan itu mempunyai sekurang-kurangnya 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.


































