Luka Modric perlu memastikan jentera tengah Croatia berfungsi dengan baik dalam aksi menentang Itali.
LEIPZIG: Dua pasukan gergasi Itali dan Croatia dari Kumpulan B bakal membuat perhitungan esok bagi menghidupkan peluang ke pusingan 16 Euro 2024.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua pasukan itu ditewaskan oleh Sepanyol dijadual bertemu esok di Arena Red Bull dengan masing-masing tidak mempunyai pilihan selain mencipta kemenangan.
Croatia layak ke final Piala Dunia 2018 dan separuh akhir Piala Dunia 2022 dijangka melakukan beberapa perubahan demi memastikan mereka kekal dalam Euro 2024.
Pemain tengah Croatia, Marcelo Brozovic bermain di Liga Pro Saudi menerima kritikan kerana aksi tidak memuaskan dalam dua perlawanan pertama manakala Luka Modric turut bergelut dengan prestasi.
Pertahanan, Ivan Perisic pula masih mencari rentak berikutan dia baru kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan kaki.
Penyerang, Bruno Petkovic yang gagal menyempurnakan penalti ketika tewas 0-3 kepada Sepanyol, menyeru agar Croatia mempamerkan aksi cemerlang menentang Itali.
“Tanggungjawab terletak di atas bahu kami, kami berhutang kepada penyokong untuk mempamerkan aksi lebih bertenaga.
“Saya menjangkakan kami menewaskan Itali dan saya berharap ia berlaku. Kami sedar semua perkara yang telah kami lakukan pada dua aksi pertama dan kami perlu memperbaikinya,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih, Zlatko Dalic mengadu beliau akan menerima kecaman apabila Croatia berdepan masalah namun tidak menerima sebarang pujian ketika pasukannya beraksi dengan cemerlang.
“Saya mempelajari beberapa perkara dalam tempoh tujuh tahun ini di mana terdapat lebih banyak kejayaan berbanding kegagalan,” katanya.
Dalam pada itu, Itali juga pastinya mahukan kemenangan kerana tiga mata yang diraih mereka hasil satu kemenangan ke atas Albania masih belum cukup untuk ke pusingan 16.
































