KUCHING: Sarawak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027.
Menurut Utusan Malaysia, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan, kerajaan Sarawak bersedia menyumbang separuh daripada RM750 juta bajet untuk penganjuran temasya sukan tersebut, sementara separuh lagi ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.
Malah, Abang Johari memberi keyakinan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berhubung secara tidak rasmi dengan beliau mengenai cadangan itu semasa menandatangani Perjanjian Pelabuhan Bintulu di Kuala Lumpur pada Mac lalu.
“Semasa menandatangani Perjanjian Pelabuhan Bintulu beliau (Anwar Ibrahim) bertanya sama ada Sarawak boleh menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.
“Kita sedang mempertimbangkan untuk mengadakan majlis perasmian di Sarawak dan majlis penutup di Semenanjung Malaysia, khususnya di Putrajaya.
“Selain itu, kita juga akan berkongsi kos penganjuran Sukan SEA. Saya percaya kita boleh melakukannya pada 2027 kerana ia sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS 2030), terutamanya dalam pembangunan bakat,” katanya di Majlis Perasmian Larian Baton Bahagian Kuching sempena Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma XXI Sarawwk 2025 di Waterfront Kuching, di sini hari ini.
Tambah Abang Johari, penganjuran bersama temasya sukan itu kelak akan memberi peluang berharga kepada Sarawak untuk mempamerkan bakat para atletnya dan bersaing di pentas Sukan SEA.
“Kita semua tahu bahawa sukan akan memupuk kecergasan di kalangan orang muda, justeru kita mempunyai alasan yang munasabah untuk menyokong perkara ini.
“Ia juga adalah sebahagian daripada strategi pembangunan insan di Sarawak dan kita berhasrat untuk memupuk bakat, bukan sahaja dalam sukan tetapi juga dalam bidang ekonomi.
“Dalam pada itu kita mahu belia di Sarawak aktif dan ini adalah inisiatif kecergasan yang kami ingin tanamkan dalam populasi muda di negeri ini,” jelasnya.
































