PENAMPANG: Biarpun penyertaan Parti Cinta Sabah (PCS) ke dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada awalnya diragui namun, parti itu tetap komited untuk membantu menstabilkan politik di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Presidennya, Tan Sri Anifah Aman berkata, PCS akan membantu memperkukuhkan lagi kedudukan GRS menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
Beliau berkata, sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya, semua ahli-ahli PCS perlu memperkukuhkan jentera parti dan seterusnya memberi sokongan kepada GRS.
“Kita mesti menegakkan prinsip ‘Sabah First’ untuk memastikan parti tempatan mentadbir Sabah demi manfaat generasi akan datang,” katanya semasa Persidangan Agung Empat-Tahunan PCS, hari ini.
Teks ucapan dasar Presiden disampaikan oleh Timbalan Presiden PCS, Datuk Pang Yuk Ming.
Anifah berkata, beliau mengakui terdapat keraguan awal dan cabaran daripada pihak luar tetapi, komitmen PCS adalah terhadap kestabilan politik Sabah dan hak rakyat Sabah.
“Walaupun terdapat laporan sinis dan kebimbangan pihak luar terhadap kemasukan kami ke dalam GRS tetapi, apa yang kita tawarkan kepada GRS adalah politik kestabilan yang diterajui oleh parti-parti tempatan,” katanya.
Bekas Menteri Luar itu berkata, kerjasama antara parti komponen GRS akan meningkatkan suara kolektif dan kredibiliti semua parti komponen GRS termasuk PCS dalam membawa aspirasi dan perjuangan hak Sabah kepada kerajaan Persekutuan.
Kata beliau, PCS memberi komitmen tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada rakyat dan memperjuangkan hak Sabah, khususnya dalam pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Anifah yang juga Pengerusi Invest Sabah Berhad berkata, kewajipan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan Persekutuan akan meningkatkan projek-projek pembangunan tempatan dengan lebih pesat.
































