PETALING JAYA: Polis menahan 16 wanita warga Afrika disyaki terlibat dengan kegiatan pelacuran dalam serbuan di sekitar Bukit Bintang dekat sini, semalam.
Serbuan kira-kira pukul 8.30 malam itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan pelacuran yang bergiat aktif sejak seminggu lalu melibatkan warga asing berselindung di sebalik hotel bajet yang disewa secara harian.
“Mereka akan mendapatkan pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan asing di tepi jalan sebelum dibawa ke bilik hotel bagi aktiviti perkhidmatan seks dengan kadar bayaran RM100.
“Wanita warga asing tersebut akan berpindah dari satu hotel bajet ke hotel bajet lain bagi mengelak dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dellhan, siasatan mendapati kesemua wanita tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan.
Jelasnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas 40 keping kondom, 10 tiub gel pelincir, tujuh gulung tisu, 14 buah telefon bimbit dan wang tunai RM800.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua individu yang ditahan akan direman hari ini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai enyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang ke IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
































