Keadaan mangsa yang dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat, Kangar, Perlis, pada awal ini.
KANGAR: Impian sepasang suami isteri menimang cahaya sulung tidak kesampaian apabila bayi yang di dalam kandungan berusia lima bulan maut dalam kejadian dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini, awal pagi ini.
Semasa kejadian pukul 3 pagi itu, pasangan berusia 18 tahun itu menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sungai Bugis di sini selepas makan di Sungai Baru, Simpang Empat.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, ketika kejadian, ketika tiba di lokasi kejadian, sebatang pokok tumbang menghempap motosikal yang dinaiki suami isteri itu.
“Akibat kejadian itu, mereka mengalami beberapa kecederaan antaranya pendarahan dalam kepala serta patah tulang pinggang kiri dan kanan.
“Kandungan mangsa berusia lima bulan turut disahkan meninggal dunia malah mereka juga masih menerima rawatan lanjut di zon merah Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya di sini hari ini.
Pokok tersebut tumbang akibat ribut yang melanda negeri ini sekitar pukul 2.30 pagi itu juga menyebabkan sebanyak 37 rumah mengalami kerosakan dengan kebanyakkan bumbung berterbangan selain terdapat 31 kes melibatkan pokok tumbang di sekitar Perlis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, berdasarkan angka yang dikemas kini setakat pukul 10 pagi ini, sebanyak 37 rumah rosak dalam kejadian tersebut.
Katanya, kebanyakkan rumah rosak pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin kencang.
“Kejadian awal pagi itu melibatkan kawasan seperti kariah Behor Mentaloon, Chemumar, Tambun Tulang, Batu 5, Mata Ayer, Sungai Padang dan Oran. Selain itu, turut melibatkan kariah Bunga Emas, Padang Besar Kurung Anai, Pauh Sanglang, Kampung Chantik, Guar Syed Alwi, Sungai Berembang, Tok Kaya dan Mengkuang Layar,” katanya.
Kata Mohd Nazim, kerosakan kecil akan diberikan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala kerosakan besar akan dirujuk JKM untuk membolehkan MAIPs menyalurkan bantuan.
“Bagi kerosakan perniagaan dikehendaki melaporkannya kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk MPK panjangkan kepada tindakan agensi pemberi bantuan seperti MAIPs dan agensi berkaitan,” katanya.


































