Pemain Scotland meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika bertemu Switzerland dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Eropah (Euro) di Stadium Cologne, Rabu lalu.
STUTTGART: Sejarah bakal tercipta jika Scotland berjaya menewaskan Hungary dalam aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Eropah (Euro) 2024 sekali gus layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama.
Menurut Utusan Malaysia, Scotland dijadual bertemu Hungary di Arena Stuttgart pada awal pagi esok (waktu Malaysia).
Sebanyak 11 kali percubaan dilakukan, lapan pada Piala Dunia dan tiga di Euro namun Scotland masih gagal melepasi peringkat kumpulan.
Scotland diramal untuk tersingkir lebih awal selepas skuad kendalian Steve Clarke itu diaibkan oleh tuan rumah, Jerman pada aksi pertama.
Bagaimanapun keputusan seri 1-1 menentang Switzerland telah menghidupkan kembali peluang Scotland ke peringkat 16 pasukan terakhir.
Scotland tidak mempunyai pilihan selain menewaskan Hungary selain mengharapkan Jerman menumpaskan Switzerland bagi membolehkan mereka melepasi peringkat kumpulan.
“Ketika undian kumpulan dilakukan anda hanya mensasarkan dua perlawanan akhir. Apabila anda menerima keputusan buruk perspektif untuk tersingkir sudah ada.
“Mungkin disebabkan kekalahan itu membuatkan semua orang berasa sakit. Sebagai pemain, anda perlu menghadapinya. Anda perlu cuba untuk memperbaiki kesilapan.
“Kami perlu percaya jika kami bermain dengan baik, kami memberi peluang yang betul kepada diri sendiri,” kata pemain tengah Scotland, Callum McGregor.


































