Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai dalam Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Kuching, malam tadi.
PETALING JAYA: Kestabilan politik dan dasar jelas oleh kepimpinan Sarawak membolehkan wilayah itu bangkit sebagai gergasi ekonomi baharu di Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau singgung kejayaan Sarawak bangkit dan melonjak menjadi antara gergasi ekonomi di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan hasil kestabilan politik, dasar yang jelas serta keseriusan pemimpin dalam mengangkat martabat negeri dan rakyat.
“Sarawak tidak sekadar mencapai kejayaan luar biasa dalam sektor tenaga, malah turut melonjak dalam bidang-bidang baharu seperti teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan sekuriti makanan. Pencapaian ini bukan saja membanggakan negeri, bahkan Malaysia secara keseluruhannya.
“Saya percaya Sarawak miliki potensi besar untuk terus melakar kejayaan luar biasa jika dasar ekonomi yang dirangka tidak sekadar mahu mengejar kemajuan negeri-negeri lain, tetapi bermatlamat melangkaui hingga ke tingkat lebih tinggi daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Kuching bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pimpinan persekutuan dan negeri, semalam.
Mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing 2024, beliau berkata, ia akan berubah selaras kedudukan ringgit.
“Terkait penurunan kedudukan Malaysia dalam ranking daya saing dunia, saya zahirkan keyakinan situasi ini akan berubah tidak lama lagi selaras kedudukan ringgit yang semakin stabil sejak awal tahun ini, selain dasar fiskal yang lebih berhemah menerusi inisiatif subsidi bersasar,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan bersedia untuk berbincang bagi melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Di akhir amanat, saya ulangi pendirian dan komitmen Kerajaan Madani untuk segera melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan sedia berbincang bagi menyelesaikan apa jua perkara berbangkit berteraskan kepercayaan dan rasa hormat,” katanya.


































