Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari pada 28 Jun hingga pukul 5 petang.
PETALING JAYA: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 28 Jun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, keputusan permohonan tersebut boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari pada 28 Jun hingga pukul 5 petang, 7 Julai melalui platform dalam talian dan aplikasi telefon pintar, Mobile UPUPocket.
“Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai dalam laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 29 Jun setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara dalam talian, ia boleh disemak melalui pautan https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my.
Menurut KPT lagi, pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil boleh mengemukakan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari.
Katanya, rayuan tersebut boleh dibuat mulai pukul 12 tengah hari pada 28 Jun hingga pukul 5 petang 7 Julai.
“Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline,” katanya.
Menurutnya lagi, tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya.
































