Kylian Mbappe menjalani latihan bersama skuad Perancis, semalam walaupun cedera patah hidung.
MUNICH: Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) memaklumkan bintang harapan mereka Kylian Mbappe masih belum pasti akan diturunkan dalam perlawanan kedua aksi Euro 2024 menentang Belanda.
Ini selepas kapten Perancis itu mengalami patah hidung ketika menang 1-0 ke atas Austria, awal pagi kelmarin dan tahap kecederaannya juga masih belum dapat dipastikan.
Menurut Utusan Malaysia, situasi itu memberi gambaran kelibat Mbappe pada aksi Kumpulan D menentang Belanda di Leipzig awal pagi Sabtu ini ‘masih tidak menentu’, menurut FFF selain menambah satu perkembangan terkini akan diumumkan hari ini.
Pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan ketika bertembung dengan Kevin Danso pada hujung perlawanan di Duesseldorf yang menyaksikan hidungnya terhantuk ke bahu pertahanan Austria itu.
FFF kemudian berkata, Mbappe sudah menjalani pemeriksaan di hospital Duesseldorf sebelum kembali menyertai skuad Perancis di pangkalan mereka di Paderborn.
Persekutuan itu memaklumkan, Mbappe tidak memerlukan pembedahan selain menyatakan pemain Real Madrid itu akan memakai topeng bagi membolehkan dia kembali beraksi selepas menjalani tempoh rawatan.
“Keadaannya teruk. Dia tidak begitu baik. Apa yang pasti, hidungnya tidak berada dalam keadaan baik,” kata pengendali Perancis, Didier Deschamps selepas perlawanan dengan Austria.
































